Apakah Maksud Pancaindera?

 


Apakah maksud Pancaindera?

Pancaindera menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat adalah deria atau alat perasa yang lima iaitu deria rasa, deria bau, deria dengar dan deria sentuh. Manakala alat bagi deria-deria ini pula dikenali sebagai lidah, hidung, telinga, mata, tangan dan lain-lain.

Menurut Kamus Dewan Edisi Kedua pula, pancaindera bermaksud lima macam kebolehan manusia untuk merasa iaitu menghidu, mendengar, mengecap, melihat dan menyentuh. 

5 jenis Pancaindera Manusia

  • mata - penglihatan
  • hidung - bau
  • lidah - merasa
  • kulit - sentuhan
  • telinga - pendengaran 

Dalam konteks Kata Adjektif Pancaindera , kata adjektif itu sendiri dapat menerangkan konsep rasa, lihat, atau sentuh. Sebagai contoh, gula yang berasa manis, batu yang keras, dan gadis yang cantik. 

Apa beza Pancaindera dan Kata Adjektif Pancaindera?

Pancaindera ialah deria manusia manakala kata adjektif pancaindera ialah perkataan yang menerangkan sesuatu berdasarkan deria tersebut. 

Antara contoh-contoh ayat Kata Adjektif Pancaindera:

1. Suara Lina sangat merdu. 

Merdu merupakan kata adjektif pancaindera yang berkaitan dengan deria pendengaran. Perkataan ini digunakan untuk menerangkan bunyi atau suara yang sedap didengar. 

Contoh lain bagi kata adjektif pancaindera pendengaran:

  • merdu - suara yang sedap didengar
  • nyaring - bunyi yang kuat dan jelas
  • bising - bunyi yang mengganggu
  • garau - suara yang kasar atau berat
  • lunak - suara yang lembut dan sedap didengar

2. Sup yang dimasak ibu berasa masin.

Masin ialah kata adjektif pancaindera rasa kerana menerangkan sesuatu yang dapat dirasai oleh lidah. 

Contoh lain bagi kata adjektif pancaidera rasa: 

  • manis - mempunyai rasa seperti gula; menyenangkan pada lidah.
  • masin - mempunyai rasa seperti garam; rasa garam yang kuat.
  • masam - mempunyai rasa seperti limau atau cuka.
  • pahit - mempunyai rasa yang tidak manis dan kurang menyenangkan pada lidah. 
  • pedas - mempunyai rasa yang menyengat atau membakar lidah.
  • tawar - tidak mempunyai rasa yang cukup, kurang rasa garam atau gula.
  • kelat - mempunyai rasa yang kesat
  • lazat - mempunyai rasa yang sangat sedap dan menyelerakan
  • hambar - kurang rasa atau tidak mempunyai rasa yang menarik

3. Kulit kerbau itu kasar. 

Kasar ialah kata adjektif pancaindera sentuh kerana kasar mempunyai permukaan yang tidak licin atau tidak halus apabila disentuh kulit. 

Contoh lain adalah seperti berikut:

  • halus - mempunyai permukaan yang lembut dan licin apabila disentuh
  • licin - mempunyai permukaan yang rata dan tidak kesat
  • lembut - mudah ditekan atau disentuh dan tidak keras
  • keras - tidak mudah ditekan atau berubah bentuk apabila disentuh
  • lembik - tidak keras dan mudah berubah bentuk apabila ditekan
  • kesat - permukaan yang tidak licin apabila disentuh
  • lembap - sedikit basah atau mengandungi air pada permukaannya

4. Bunga di taman itu cantik.  

Cantik di sini antara contoh daripada kata adjektif pancaindera pandang atau penglihatan. 

Antara contoh lain bagi kata adjektif pancaindera pandang ialah:

  • cantik - mempunyai rupa yang indah dan menarik apabila dipandang
  • indah - mempunyai rupa atau pemandangan yang menyenangkan hati apabila dilihat
  • hodoh - mempunyai rupa yang tidak menarik
  • jelita - rupa yang sangat cantik dan rupawan
  • tampan - mempunyai rupa yang menarik dan sedap dipandang, biasanya untuk lelaki
  • kemas - kelihatan teratur, rapi, dan tidak berselerak
  • kotor - kelihatan tidak bersih

Kesimpulannya, pancaindera itu adalah perkara yang melibatkan deria yang ada pada tubuh badan kita sendiri dan kata adjektif pancaindera pula membantu kita menerangkan sesuatu yang dapat kita lihat, dengar, rasa, bau dan sentuh dengan lebih jelas. 


Surah Al-Isra' : 36 (Tanggungjawab Indera)


"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya."



(Apa lagi satu contoh yang tidak disediakan? Cuba kongsikan jawapan awak semua ya!)

Catat Ulasan

1 Ulasan