ADHESION DI HARI RAYA 2026

 Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidilfitri semua. 


Dah raya ke berapa laa kita harini? Selamat berpuasa enam pada kawan-kawan yang berpuasa. Pada kawan-kawan yang baru dapat cuti, selamat berehat dan berhari raya. Hehe


Tahun ini saya umumkan saya tidak beraya. Kenapa? 

Kerana kesihatan bonda tercinta tiba-tiba ditiup angin dan sedikit bergoyang. Sedihnya bukan kepalang. Bukan sedih tak dapat beraya, tapi sedih orang yang kita sayang, orang yang menjadi tulang belakang tiba-tiba kita tengok terlantar di katil wad. 

Kalau nak cerita semula rasa macam hilang ingatan sebab semuanya berlaku terlalu pantas. Supsap supsap. Eh, akhirnya dapat keluar wad dah. Alhamdulillah. 

Semua terjadi pada 2 minggu sebelum hari raya. 

Selepas makan sambal ijo. Sedak betoi sambal ijo masa tu. Patutlah sedap semacam rupanya nak menjadi musibah. Lah tiber. 

Tiba-tiba perut mak sakit. Mak memang ada GERD sebelum ni. Kami ni anak beranak (saya dan bapak) ingat GERD mak menyerang. Teruslah makan ubat gastrik dan Pantoprazole. Tapi makin lama makin sakit. Pukul 2 pagi, kami hantar mak ke klinik bertemankan Icha yang baru nak masuk 5 bulan masa tu. Sampai di klinik, ramai betul manusiawi yang sakit perut tengah malam rupanya ya? Doktor cakap, bulan puasa ni memang ramai sakit perut. Beliau pun cucuklah iv, masuk air dan ubat tahan sakit. Saya waktu tu nak cakap, saya inginkan rawatan bukan ubat tahan sakit. Tapi, apakan daya, bila tengok mak dah boleh bangun sikit sikit, dengan pemikiran seorang yang tipikal, "Esok okaylah tu.."

Mak pun beraktiviti macam biasa bertemankan perut yang masih sakit dan ubat tahan sakitnya. 

Puasa ke dua puluh tujuh, selepas berbuka. Tiba-tiba mak mengadu sakit perut. Bapak sudah ke terawih. Telefon bimbit ditinggalkan kat rumah. Dalam hati nak marah jugak, kenapa selalu sangat bapak ni tinggalkan telefon kat rumah. Hahaha. Saya pun bergegas hidupkan enjin kereta dan letak Icha di carseat. Kasihat Icha. Tapi dia betul betul bagi kerjasama. Mamy rasa terharu walaupun tak sempat tukar baju dan pakaikan stoking masa tu. 

Sampai di hospital, mak terus ditolak ke zon kuning. Saya tak dibenarkan masuk sebab ada anak kecil. Terima kasih kakak pengawal keselamatan HOSHAS sebab tolong mak saya masa tu. Terima kasih jugak pakcik India yang nasihatkan saya "Balik ni basuh kaki tangan dan muka anak, hospital bukan tempat untuk baby.." 

Selepas terawih, bapak pun sampai. Semua urusan selepas itu, semua diurus oleh bapak. Saya sampai ke sudah dikerusi batu bertemankan Icha dan sekeping lampin yang mujur ada dalam kereta untuk dijadikan selimut. 

Berhari hari mak di hospital sebab tak dapat kesan sakit apa. Ada seorang doktor, tetap betul pendirian dia yang mak saya ni anxiety. Bukann. Mak saya bukan anxiety doktor. Allahu. Akhirnya, xray kali ketiga setelah masukkan tiup nasogastrik untuk sedut segala angin dan asid dalam perut, barulah nampak usus yang bengkak tunggu masa nak meletup! 

Masa tu tak fikir pun dah esok nak raya. Cuma berdoa selamatkan mak. Kata doktor, dia cuba tengok dulu untuk tak potong usus yang bengkak. Kalau tak boleh diselamatkan dah, usus terpaksa dipotong. 

Tapi doktor kata dia akan membuat procedure laparatomy dan adhesiolysis. Semoga saja tiada ada apa apa terjadi. 


Akhirnya, selepas beberapa procedure dijalankan, kita pun dapat discharge note. Masa tu raya kedua. Leganya rasa tengok mak dah kembali seperti sediakala walaupun berbekalkan parut operate yang panjang dan horizontal. 



Waktu ni saya hanya berfikir "Akan aku lewati semua tapi sambil nangis.." Haha. Selamatlah semuanya dugaan pada hari raya pada tahun ini. Sekarang, mak menghitung hari untuk buka semula jahitan dan appointment seterusnya enam minggu selepas tarikh discharge.

Terima kasih tak terhingga kepada suami tercinta kerana memahami situasi saya sebagai anak tunggal dan turut membantu dalam segala hal ketika saya dalam tak menentu. Raya haji kita balik kampung belah suami okay! Dan terima kasih juga kepada warga HOSHAS, Temerloh kerana banyak membantu kami sepanjang mak di hospital. 



Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin dari Hana, Iqhwan dan Icha. 


Wassalam. 

Post a Comment

1 Comments